Malaysia Negara ‘Paling Gemuk’ Di Asia Tenggara
PETALING JAYA: Malaysia merupakan negara paling gemuk di Asia
Tenggara dengan kadar obesiti yang paling tinggi, kata Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
“Ini bukan gelaran yang cemerlang. Kita melebihi negara-negara Asean
yang lain dan berada tempat keenam di seluruh Asia – membelakangi
beberapa negara Timur Tengah,” katanya.
Memetik statistik daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan,
Liow berkata, 15.1 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas
mengalami obesiti pada 2011.
“Ini adalah satu peningkatan 14 peratus daripada demografi yang sama pada tahun 2006,” katanya.
Turut dilaporkan adalah lebih 2.6 juta orang dewasa adalah golongan
obes manakala lebih 477,000 kanak-kanak di bawah 18 tahun mempunyai
berat badan berlebihan.
Liow berkata, penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, kanser dan masal
Sumber : mStar online
Kadar obesiti di Malaysia tertinggi di kalangan negara ASEAN
KUALA LUMPUR: Malaysia menduduki tempat pertama di kalangan negara
ASEAN dari segi paling ramai rakyatnya memiliki obesiti dan tempat
keenam di kalangan negara Asia Pasifik, Dewan Rakyat diberitahu hari
ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata perkara ini perlu diberi perhatian semua pihak.
"Kita serius diancam dengan pengambilan gula berlebihan yang menyebabkan
pelbagai penyakit termasuklah diabetes," katanya semasa menjawab soalan
Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).
Dr Tan ingin tahu tahap penggunaan gula berlebihan di Malaysia
berbanding negara lain dan tindakan yang diambil kepada sesiapa yang
melanggar peraturan yang ditetapkan.
Rosnah berkata, kadar pengambilan gula di kalangan rakyat Malaysia
adalah terlalu tinggi iaitu purata 51 gram, melebihi saranan yang
ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 50 gram.
Katanya, sebanyak 1,266 sampel makanan dianalisis pada 2009 untuk
bahan pemanis di mana 7.3 peratus atau 92 sampel didapati melanggar
standard yang ditetapkan.
"Manakala pada 2010 sebanyak 2,004 sampel makanan dianalisis di mana
5.4 peratus bersamaan dengan 108 sampel didapati melanggar standard
ditetapkan," katanya.
Mengenai tindakan, beliau berkata, selain tindakan mahkamah yang
diambil terhadap pihak industri, kerajaan juga mengeluarkan amaran
kepada seluruh negara untuk memaklumkan produk yang melanggar
Peraturan-peraturan Makanan 1985 yang tidak dibenarkan.
"Tindakan pihak kementerian adalah dengan melaksanakan pengambilan
sampel dari semasa ke semasa untuk memastikan makanan yang dijual di
pasaran adalah terdiri daripada makanan yang selamat dimakan," katanya. -
BERNAMA
Sumber: bharian.com.my
Budaya makan waktu malam punca obesiti
TENTU ramai bersetuju bahawa orang Malaysia makan mengikut selera.
Apa sahaja makanan yang sedap akan diambil tanpa memikirkan kesan pada
kesihatan.
Malah ramai juga yang berpegang pada falsafah, 'hidup hanya sekali
dan makanlah selagi ada selera sebab jika sudah sakit, semuanya tidak
boleh dimakan'.
Pepatah 'mencegah lebih baik daripada mengubati' tidak dihiraukan
sehingga timbul falsafah baru, 'dulu orang mati tak cukup makan,
sekarang mati sebab berlebih makan'.
Makan mengikut selera bukan sahaja boleh menyebabkan pelbagai jenis
penyakit malah menjadikan ramai di kalangan rakyat Malaysia gemuk atau
obesiti.
Sebab itu tidak menghairankan apabila kajian menunjukkan jumlah
penduduk negara ini yang mengalami obesiti semakin membimbangkan dan
menjadi punca masalah kesihatan di Malaysia.
Bukan saja di kalangan orang dewasa, malah lebih teruk menular di
kalangan kanak-kanak dan remaja yang rata-rata dilanda masalah kesihatan
adalah disebabkan oleh obesiti.
Akibatnya kes-kes penyakit kronik meningkat di kalangan rakyat negara ini.
Salah satu daripada sebab kepada masalah ini ialah kegemaran kanak-kanak, remaja malah dewasa terhadap makanan segera.
Makanan segera seakan-akan telah menjadi budaya dan kebanggaan mereka
yang menikmatinya daripada sarapan pagi, makan tengah hari dan malam.
Budaya makan makanan segera yang sebahagian besarnya datang dari negara luar hakikatnya tidak sesuai dengan budaya kita.
Ini kerana makanan segera lazimnya berkalori tinggi yang mungkin
menjadi keperluan penduduk negara sejuk tetapi bukan di Malaysia.
Ibu bapa harus memainkan peranan mendidik anak-anak agar tidak bergantung kepada makanan segera.
Nikmati makanan yang dimasak sendiri di rumah kerana kita dapat
mengawal kandungan kalori, lemak dan sebagainya di dalam makanan.
Satu lagi punca obesiti tanpa disedari ialah budaya atau tabiat suka makan pada waktu malam.
Restoran dan gerai-gerai yang berselerak di Kuala Lumpur yang dibuka
24 jam membuatkan ramai yang menghabiskan waktu santai mereka makan dan
minum sehingga lewat malam.
Memetik kata-kata mantan Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang
pernah penulis temui tidak lama dulu, banyak negara yang telah
dikunjunginya dan puas mengelilingi dunia, tiada negara yang restoran
atau gerai makan yang dibuka 24 jam kecuali Malaysia.
Penduduk negara ini memang bertuah kerana boleh makan 24 jam atau lebih tepat jika dikatakan Malaysia sebagai syurga makanan.
Keistimewaan ini juga yang menarik ramai pelancong ke negara ini kerana mereka boleh makan sehingga lewat malam.
Lebih bertuah mereka yang sememangnya tidak boleh tidur malam lantas
menghabiskan masa dengan makan-makan di restoran mamak 24 jam atau gerai
yang menjual bermacam-macam jenis makanan yang enak.
Tetapi yang buruknya, kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam.
Ini membuatkan lemak lebih mudah berkumpul. Kebanyakan restoran 24 jam
menjual makanan yang tinggi kandungan lemak, kalori dan kolesterol.
Contohnya sekeping roti canai mengandungi 301 kalori, roti telur (
356 kalori), capati (300 kalori), mi goreng (281 kalori) dan ayam goreng
(255 kalori).
Banyak yang harus diubah seperti diet yang tidak seimbang dan tabiat makan pada waktu malam.
Pada masa lalu, kebiasaannya orang makan dua kali sehari, iaitu
tengah hari dan malam. Tetapi pada hari ini, kebanyakannya makan lima
hingga enam kali sehari termasuk makan lewat malam di kedai Mamak.
Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Ismail
Noor berkata, gejala obesiti yang tidak dibendung boleh melemahkan
struktur masyarakat kerana sebahagian besar generasi muda yang gemuk
tidak aktif dan berpenyakit.
Justeru katanya, obesiti mesti ditangani secepat mungkin sebelum semakin ramai rakyat Malaysia mengalaminya.
"Obesiti boleh menyebabkan perubahan dalam sistem enzim dan hormon tubuh dan memberikan kesan negatif pada kesihatan.
"Pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, sakit
buah pinggang, jantung serta menjejaskan sistem reproduksi berpunca
daripada obesiti," katanya.
Statistik menunjukkan obesiti di kalangan orang dewasa negara ini
meningkat mendadak kepada 250 peratus pada tempoh 10 tahun lalu daripada
1996.
Sementara itu, jumlah mereka yang mengalami kegemukan turut bertambah kepada 70 peratus.
Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2006 pula menunjukkan dua
daripada setiap lima orang dewasa atau 43 peratus mengalami sama ada
kegemukan atau obesiti.
Lebih membimbangkan jumlah dewasa obes bertambah lebih tiga kali
ganda lebih sedekad lalu, daripada empat peratus pada tahun 1996 kepada
14 peratus pada 2006.
Selain itu, kira-kira 38 peratus daripada remaja yang berumur di
antara 12 hingga 18 tahun diklasifikasikan sebagai terlebih berat.
Kajian yang dilakukan baru-baru ini terhadap 10,000 orang pelajar
menunjukkan 24 peratus yang berumur di antara enam tahun hingga 12 tahun
terlebih gemuk atau obesiti.
Bagi membendung masalah obesiti yang semakin membimbangkan di negara
ini, Kementerian Kesihatan akan menempatkan kira-kira 300 pakar
pemakanan di klinik kerajaan terpilih secara berperingkat bagi memberi
kaunseling mengenai obesiti.
Kerajaan benar-benar memandang serius masalah obesiti di kalangan
rakyat dengan menubuhkan Majlis Cegah Obesiti Malaysia (Mcom) baru-baru
ini.
Dr. Mohamad berkata, masalah obesiti di Malaysia berada pada tahap membimbangkan bagi semua peringkat umur.
Terdapat dua punca utama yang dikesan menyebabkan kepada masalah obesiti, iaitu makan berlebihan dan kurang bersenam.
Terdapat juga kes kegemukan yang disebabkan oleh kes keadaan
kesihatan seperti masalah endokrin dan pengambilan ubat-ubatan atau
dadah tertentu.
''Kajian yang dilakukan mendapati masyarakat kita tidak suka bersenam
kerana menganggap senaman tidak penting dan tidak ada alasan untuk
mereka bersenam.
''Banyak faedahnya bersenam kerana badan akan menjadi sihat dan kuat serta menjauhkan daripada pelbagai penyakit.
"Dengan bersenam, kita dapat membina kekuatan otot, meningkatkan
keupayaan badan mengawal paras glukosa darah, membantu mengawal lipid
darah yang tidak normal, menguatkan tulang dan melambatkan proses
osteoporosis.
''Selain itu, tidak banyak tempat untuk beriadah, kes ragut, rogol,
bunuh dan sebagainya menghalang orang untuk keluar bersenam lebih-lebih
lagi selepas Subuh di mana sekeliling masih gelap.
''Tidak ramai yang mampu untuk ke kelab kesihatan atau membeli peralatan untuk diletakkan di rumah.
"Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan di rumah bagi
mengeluarkan peluh seperti menari, mengemas rumah, berkebun dan mencuci
kereta. Aktiviti seperti ini juga dapat membantu menguatkan otot-otot.
''Kerajaan mempunyai banyak perancangan untuk memberikan kemudahan
kepada masyarakat seperti menyediakan lebih banyak tempat beriadah
tetapi amat sukar untuk melaksanakan kerana kekurangan peruntukan.
''Sebenarnya banyak cara untuk bersenam. Berjalan kaki juga salah satu daripada jenis senaman.
"Tetapi orang kita terlalu bergantung kepada kereta, hendak pergi
kedai yang dekat pun hendak naik kereta. Hendak pergi tingkat satu pun
nak naik lif. Mereka tidak mahu naik tangga sedangkan itu adalah senaman
yang baik, mudah dan ringkas ,'' ujar Prof Mohamad Ismail lagi.
Beliau menambah, setiap orang harus mengubah cara pemikiran mereka mengenai obesiti.
Ramai yang memandang remeh dan tidak takut pada obesiti kerana pada
mereka obesiti tidak membunuh. Tetapi H1n1 membunuh dan mereka amat
takut kepada penyakit-penyakit seperti ini.
Bagaimanapun katanya, jika seseorang itu telah obesiti maka ia akan
selama-lamanya begitu. Banyak kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat
dan Eropah mengenai obesiti namun tidak banyak yang boleh dilakukan
untuk menanganinya.
Sumber : utusan.com.my
UNIMAS lancar kempen perangi obesiti
by Rusnan Mustafa. Posted on May 12, 2013, Sunday
KUCHING:
Sedar tentang kedudukan Malaysia yang kini berada di tangga teratas
carta penduduk paling ramai mengalami obesiti di Asia, Universiti
Malaysia Sarawak (UNIMAS) melancarkan Kempen ‘Let’s Move and Shake’
mulai semalam.Kempen yang disertai kira-kira 150 orang terdiri daripada para pelajar UNIMAS itu dirasmikan Timbalan Naib Canselor Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman.
Dalam ucapannya, Fadzil berkata, antara penyebab utama kepada masalah obesiti ialah tidak menjaga pemakanan dan kurang bersenam.
“Dua perkara ini penting untuk mengatasi masalah obesiti, justeru kita perlu menjaga pemakanan dan selalu bersenam kerana tiada jalan singkat untuk mengatasinya.
“Oleh itu, saya difahamkan kempen yang bermula hari ini (semalam) sebagai langkah ke arah mendidik dan membentuk individu yang sihat kerana Malaysia kini sudah berada di tangga teratas Asia dan nombor enam di dunia rakyat paling ramai mengalami obesiti,” jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu makan terlalu banyak barangan makanan segera juga menjadi punca kepada obesiti di kalangan rakyat Malaysia.
“Malah, ramai kanak-kanak pada masa ini turut mengalami masalah obesiti kerana terlalu didedahkan kepada pemakanan segera yang mempunyai banyak kandungan yang tidak elok,” tambahnya.
Pada masa sama, beliau memberitahu makanan yang terlalu banyak santan dan bergula juga penyumbang kepada masalah itu.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah bergantung kepada diri kita sendiri untuk meningkatkan tahap keyakinan diri agar kekal sihat,” kata Fadzil sambil menambah sindirian orang di sekeliling tidak harus diperdulikan.
Kempen itu dianjurkan oleh pelajar tahun tiga Program Kajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial UNIMAS khusus bagi menangani masalah obesiti di kalangan warga kampus.
Sementara itu, pengerusi penganjur Sim Wei Li berkata obesiti merupakan penyumbang utama kepada penyakit diabetes, jantung dan kanser yang perlu ditangani bersama.
“Kita harus melawan dan kata tak nak kepada obesiti dengan menyertai kempen ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan sihat,” ujarnya.
Para peserta akan berjalan sejauh 4.5 kilometer dari Kolej Allamanda dan Bunga Raya sebelum berpatah balik di hadapan Bangunan Hal Ehwal Pelajar UNIMAS.