'Potong' gula untuk lebih
sihat, cantik
Oleh Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim
KONGSI ARTIKEL
Susah sebenarnya jadi wanita Melayu. Bukan sahaja kita ditekankan
menjadi seorang ibu yang baik, isteri yang pandai melayan suami, anak menantu
yang pandai mengambil hati keluarga mentua, malah bak kata Saloma, wanita mesti
pandai menjaga badan supaya suaminya tidak berasa bosan.
Wanita diminta untuk memenuhi semua kriteria ini dan pada masa sama
menghadapi realiti kehidupan moden yakni menjadi wanita bekerja untuk menampung
keperluan dan perbelanjaan keluarga. Daripada guru, pekerja swasta atau kerajaan;
wanita mesti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga (perkataan baharu yang
saya pelajari) sentiasa mengawasi anak dan menjaga keluarga.
Saya harus akui, saya bukan rujukan yang baik untuk melihat cabaran
kehidupan wanita Melayu moden masa kini, namun saya ingin berkongsi sedikit
pengalaman dari sudut yang saya kira amat penting dalam kehidupan kita sebagai
wanita moden, iaitu kesihatan.
Apabila kita melihat kecantikan selebriti dalam Instagram, pelbagai
faktor yang dapat kita lihat memberi sumbangan kepada kecantikan itu, daripada
penggunaan fesyen yang baik, solekan yang sesuai, penggunaan tapisan kamera
(filter) telefon pintar yang membuatkan kulit kelihatan halus dan sempurna
hingga jenama pakaian yang dipakai.
Namun, di sebalik semua itu, apa yang ramai orang lupa bahawa asas
kepada bentuk kecantikan fizikal adalah penjagaan kesihatan. Apa yang orang
ramai tidak nampak ialah di sebalik gambar yang hampir sempurna itu adalah
puluhan jam masa dihabiskan di pusat kesihatan (gym) dan disiplin dalam penjagaan
pemakanan.
- Gambar hiasan
Penjagaan kesihatan penting
Menjadi wanita Melayu moden masa kini, sesungguhnya penjagaan kesihatan
itu amat penting bukan sahaja bagi kecantikan fizikal semata-mata, tetapi dalam
memastikan badan kita mempunyai stamina untuk menghadapi kehidupan seharian.
Namun, anda pasti akan mempersoalkan, "mudahlah cik puan untuk bercakap
begitu, saya tidak mempunyai pelatih peribadi dan masa untuk ke gym."
Faktor utama masalah kesihatan dalam kalangan masyarakat kita bukan
makanan berlemak seperti rendang dan nasi lemak, tetapi kegilaan kita makan
gula. Kita letak gula dalam segala benda yang kita makan. Gula penyumbang utama
kepada masalah kesihatan yang biasa kita dengar iaitu obesiti, diabetes, sakit
jantung dan darah tinggi.
Selalu kita dengar kalau hendak diet, perkara pertama yang kita perlu
hentikan ialah makan nasi dan ini selalunya berkesan untuk jangka masa pendek
sahaja. Berat badan akan turun pada awal permulaan diet kita itu, namun kita
dapati ia terhenti dan naik kembali kerana kita akan menggantikannya dengan
perkara lain. Karbohidrat seperti roti, nasi dan pasta dicerna oleh badan kita
dan menggubahnya kepada glukos yakni sejenis gula dalam darah yang menjadi
bahan bakar kepada badan.
Gula tambahan sebagai dalang
Asas kepada diet berhenti makan nasi datang daripada idea bahawa
sekiranya sudah tidak mempunyai glukos untuk dibakar, badan kita mula membakar
lemak yang tersimpan seterusnya menurunkan berat badan. Namun, apa yang perlu
kita sedar, glukos bukan penyumbang kepada pembentukan lemak dalam badan,
sebenarnya fruktos yakni gula tambahan yang menjadi dalang utama merosakkan
tubuh badan kita.
Berbeza dengan glukos, gula buatan manusia - fruktos, ia tidak mempunyai
tindak balas serupa dengan glukos, hati tidak akan berhenti memproses fruktos
dan apabila hati kita sudah menghasilkan glycogen yang mencukupi, ia akan
mengubah fruktos yang kita makan kepada lemak yang menyumbang kepada kegemukan
dan lemak ini masuk ke dalam darah seterusnya meningkatkan kolesterol dan
menaikkan risiko serangan jantung.
Malah, gula juga sesuatu yang mudah menimbulkan ketagihan, dengan
pemakanan gula akan terhasil hormon dopamine yang menjadikan kita gembira dan
ceria seterusnya membuatkan otak kita mahu memakan lagi gula berkenaan. Sebab
itu apabila sedih dan kecewa, kita akan mencari makanan manis untuk menaikkan
mood dan sebab itu kita selalu tambah dan sukar untuk kenyang apabila memakan benda
manis.
Penerangan yang saya tawarkan di sini adalah hasil pembacaan dan
pengalaman sendiri. Saya dapati dengan pemotongan gula dalam pemakanan harian
secara terus akan menyumbang kepada peningkatan stamina, pengurangan berat dan
kecerdasan badan. Logik di balik pemikiran ini amat mudah, zaman-berzaman nenek
moyang kita makan lemak daripada daging, namun tidak pernah ada masalah
kegemukan dalam masyarakat, hanya apabila gula mula diperkenalkan terutama
dalam minuman, khususnya minuman soda baru kita dapati isu obesiti mula muncul
dalam kalangan masyarakat kita.
Kalau saya ditanya, apakah langkah pertama harus dibuat oleh seseorang
wanita untuk menaikkan taraf kesihatan atau kelihatan cantik, saya dengan tegas
akan katakan, potonglah gula dalam makanan dan minuman. Lupakan tas tangan
berjenama, kasut bergaya atau solekan mahal, itu semua hanya pelengkap kepada
tubuh badan yang sihat.
Sebenarnya, gula tidak mempunyai sebarang sumbangan nutrisi kepada badan
kita melainkan kalori, tidak seperti nasi yang mempunyai vitamin dan nutrisi
tambahan; gula adalah apa yang disebut sebagai kalori kosong. Kalau anda
benar-benar serius mahu meningkatkan kesihatan, potonglah gula dalam pemakanan
daripada minuman bergula, makanan manis hingga tambahan gula dalam masakan.
Cuba lakukan ini untuk sekurang-kurangnya sebulan. Dua minggu pertama
anda mungkin akan rasa resah dan gundah gulana (moody) satu simptom biasa
apabila badan anda cuba menyesuaikan diri dengan ketiadaan gula tambahan di
dalam badan. Gantikan ketiadaan gula itu dengan gula asli daripada buah-buahan
dan insya-Allah saya rasa anda akan dapat rasakan perubahan bukan sahaja dari
segi kesihatan fizikal, tetapi juga kepada deria rasa yang menjadi semakin
sensitif dengan ketiadaan gula yang melitupi deria rasa lain.
Cubalah. Tak susah, apa kata anda lakukan hijrah ini kemudian kongsi
pengalaman anda tanpa gula untuk sebulan di Instagram saya dan sama-sama kita
berusaha menjadi lebih sihat seterusnya membina kehidupan lebih baik.
Penulis adalah Bekas Personaliti TV