MUKADIMAH say no kepada gula

Asasalamualaikum...Satu kajian perubatan menunjukkan , rakyat malaysia merupakan pengguna gula yang tertinggi di asia tenggara dengan purata 3.7 kg gula sebulan. Kini hampir 1.4 juta rakyat Malaysia berusia 30 tahun keatas mengidap penyakit diabetes dan dijangkakan 2.5 juta rakyat negara ini akan mengidap diabetes menjelang 2020. Menyedari hakikat ini orang ramai digalakkan mengurangkan penggunaan gula dengan mencari pemanis alternatif pengganti gula dan ternyata produk ini boleh menjadi kenyataan. Kami menawarkan 3 PRODUK pengganti Gula untuk kesihatan para anda semua. Produk berasaskan tebu hitam (P3 Pemanis), Stevia (Doktor Stevia) & Buah Lohan/ Monk (HEGULA) sejenis pemanis semulajadi berasaskan 100% tebu Hitam, dengan teknologi Nano, daun stevia dan Buah Lohan dengan kemanisan sehingga 300 kali gula tetapi tidak mengandungi kalori, glukos dan lemak . Tebu Hitam dan Stevia juga digunakan untuk mengurangkan kadar gula amalan dalam kehidupan harian. Ia juga menjadi pemanis pilihan bagi mereka yang ingin sihat berterusan dan juga yang mengalami masalah berat badan. Juga pada mereka yang merebut peluang menambah pendapatan....Teruskan...
KITA TIDAK PERLU HEBAT UTK BERMULA...TAPI KITA MESTI BERMULA UTK MENJADI HEBAT...AMINNN...

Wednesday, July 28, 2010

PELANCARAN kEMPEN

UCAPAN Y.B DATO’ SERI LIOW TIONG LAI

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM KEMPEN KURANGKAN GULA
DI DEWAN SJKC KERLING
PADA 20 APRIL 2010 (3 PETANG)

Yang Berusaha Pengerusi Majlis.
Ahli-ahli Yang Berhormat.
Yang Berbahagia Dr Rosnah bt Hadis,
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor.

Dif-dif kehormat, Dato-dato, Datin-datin,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat pagi, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

1. Terlebih dahulu saya ingin melahirkan rasa bangga dan bertuah kerana dapat bersama-sama dengan penduduk-penduduk Kg Baru Air Panas Kerling dan kawasan sekitarnya dalam suasana majlis yang bersejarah dan cukup meriah ini, iaitu Kempen Kurangkan Gula pada hari ini.

2. Pengambilan makanan yang manis dan bergula telah menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia. Kita dapat lihat di mana-mana restoren atau kedai makan, kebanyakan daripada kita lebih gemar memilih minuman manis seperti sirap, teh tarik dan kopi tarik berbanding air kosong. Kuih muih kita juga kebanyakannya disediakan dengan menambah gula. Tidak cukup dengan itu, pisang goreng dan roti canai juga dicicah dengan gula.

3. Namun begitu, kita perlu menyedari bahawa gula yang ditambah ke dalam makanan tidak memberi sebarang faedah kepada kesihatan malah boleh memudaratkan. Ini kerana selain membekalkan tenaga, gula TIDAK mengandungi nutrient lain. Apabila kita mengambil makanan yang mengandungi gula dan tidak melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian, ianya hanya akan segera ditukar kepada lemak dan disimpan di dalam badan. Pada satu jangka masa yang panjang, lemak ini akan berkumpul dan menyebabkan kegemukan atau obesiti. Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya kita mengamalkan pengambilan makanan yang kaya dengan lemak dan kurang melakukan aktiviti fizikal.

4. Menurut pakar pemakanan, 1 sudu teh gula membekalkan 20 kilokalori tenaga. Untuk membakar tenaga ini, kita perlu menaiki tangga setinggi 14 tingkat. Bayangkan, kita perlu menaiki tangga setinggi 98 tingkat jika mengambil 7 sudu teh gula yang membekalkan 140 kilokalori tenaga sehari.

5. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun 2003, orang dewasa di Malaysia menambah 7 sudu teh (51g) gula sehari ke dalam minuman, di mana 4 sudu teh (21g) adalah gula pasir dan 3 sudu teh (30g) adalah dalam bentuk susu pekat manis. Jumlah ini sahaja telah melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Panduan Diet Malaysia yang menyarankan pengambilan gula tidak melebihi 50g atau 10% daripada keperluan tenaga harian. Ini belum lagi diambilkira gula yang dijadikan ramuan dalam kuih-muih, bubur, kek, ais krim, coklat dan sapuan roti yang kita makan setiap hari, yang dipanggil gula tersembunyi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

6. Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa prevalens orang dewasa yang berlebihan berat badan telah meningkat hampir dua kali ganda iaitu daripada 16.6% pada tahun 1996 kepada 29.1% pada tahun 2006. Prevalens orang dewasa yang obes pula telah meningkat sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada 4.4% pad tahun 1996 kepada 14.0% pada tahun 2006.

7. Obesiti meningkatkan risiko penyakit kronik seperti Diabetes, penyakit jantung dan strok. Kajian yang sama menunjukkan bahawa prevalens penyakit Diabetes di kalangan penduduk yang berumur 30 tahun ke atas telah meningkat daripada 8.3% pada tahun 1996 kepada 14.9% pada tahun 2006.

8. Kempen Kurangkan Pengambilan Gula merupakan usaha berterusan kerajaan bagi mendidik rakyat mengamalkan cara hidup sihat. Pada hari ini juga, saya difahamkan pelbagai aktiviti telah diatur termasuk pameran dan saringan kesihatan. Ini termasuk ujian percuma untuk mengesan tahap glukos dan kolestrol dalam darah.

9. Akhir kata, saya menyeru kepada semua, marilah kita bersama-sama berusaha mengurangkan pengambilan gula dan mengamalkan cara hidup sihat. Sebagai pengguna, kita perlu mendidik diri untuk membaca label makanan untuk mengetahui kandungan gula dalam makanan tersebut. Ini penting untuk mengawal pengambilan makanan yang terlalu banyak mengandungi gula. Kita juga perlu menjalankan aktiviti fizikal secara kerap dan berterusan. Jadikanlah amalan cara hidup sihat sebagai rutin kehidupan bagi menjamin kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

10. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Kurangkan Gula pada hari ini. Sekian, terima kasih.

Tuesday, July 27, 2010

KEMPEN KURANGKAN GULA

Oleh Sitti Nor Azizah Talata
utusansabah@utusan.com.my





Ismail Sabri Yaakob merasmikan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula Daerah Sipitang di Dewan Serbaguna Pekan Sipitang, Sabah, baru-baru ini sambil disaksikan oleh Sapawi Ahmad (kiri) dan Pengarah KPDNKK, Jaafar Walad (dua dari kanan).





SIPITANG 18 Feb. - Gula merupakan bahan tambahan yang mampu menjadikan makanan dan minuman amat menyelerakan.

Bagaimanapun, jika diambil berlebihan ia boleh menjadi 'racun' merosakkan tubuh manusia secara perlahan-lahan.

Pengambilan gula berlebihan menyebabkan seseorang itu menghidap pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, tulang rapuh dan kanser.

Selain itu, Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendapati orang yang meminum minuman bergas dan minuman berasaskan sirap dua kali sehari atau lebih, menanggung risiko 90 peratus lebih tinggi dijangkiti kanser pankreas dan kulit berbanding mereka yang tidak meminumnya.Apa yang pasti, pengambilan gula berlebihan nyata mengundang kemudaratan.

Oleh itu, atas kesedaran ini, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjalankan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula di seluruh negara.

Di Sabah, kempen itu bermula selepas pelancaran oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, baru-baru ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri memberitahu, kadar penggunaan gula oleh rakyat negara ini masih tinggi sehinggakan ia terpaksa menjadi barang kawalan oleh kerajaan.

Katanya, secara purata rakyat Malaysia mengambil 26 sudu gula sehari, iaitu tiga kali ganda berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sebanyak 10 sudu teh gula sahaja.

Ini termasuklah gula yang terdapat dalam makanan harian iaitu beras, roti, jus minuman dan susu.

''Pada tahun lepas, penjualan gula untuk keperluan domestik negara mencecah 803,318 tan metrik setahun. Ini menjadikan Malaysia sebagai negara kelapan tertinggi di dunia dalam senarai penggunaan gula," katanya.

Sehubungan itu, beliau menambah, kempen berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai akibat penggunaan gula secara berlebihan dalam diet seharian kepada kesihatan.

Ismail Sabri berkata, menerusi kempen itu diharap orang ramai dapat mengurangkan pengambilan gula dalam menu harian mereka dan mengamalkan pemakanan yang lebih sihat.

Menurut beliau, pemakanan gula akan mengganggu keseimbangan fungsi tubuh kerana asid berlebihan dalam badan.

Katanya, tidak dinafikan pengambilan gula di kalangan orang muda menyebabkan kadar obesiti golongan remaja meningkat selain kerosakan gigi terutama bagi kanak-kanak.

''Sebagai menteri yang menjaga pengguna, kita mahu nasihatkan pengguna supaya tidak beli 'penyakit' (dengan mengambil gula berlebihan," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa soal penjagaan tidak sepatutnya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan semata-mata, tetapi perlu disokong oleh semua pihak termasuk pengguna.

Mengikut laporan Persatuan Diabetes Malaysia, bilangan pesakit diabetes di Malaysia kini mencecah 1.2 juta orang dan meningkat setiap tahun.

Sementara itu, Laporan WHO pula menjangkakan jumlah pesakit diabetes di negara ini akan bertambah 2.5 juta menjelang 2030.

''Di Sabah, pesakit diabetes mencatatkan jumlah yang paling rendah iaitu 4.9 peratus berbanding 14.9 peratus bagi seluruh negara," katanya. - Utusan